Sabtu, 3 Disember 2011

Teknik-Teknik Mengulangkaji Pelajaran

Artikel ini menjelaskan pengertian dan kepentingan mengulangkaji pelajaran serta bagaimana dan bila ulangkaji harus dimulakan.

PENGENALAN
Mengulangkaji adalah suatu proses mempelajari atau menyemak semula dengan tujuan memahami, dan mengingat semua maklumat serta fakta dari nota-nota ringkas bahan-bahan pelajaran yang telah anda pelajari sebelum ini. Ia bukannya bertujuan mendapatkan maklumat-maklumat baru. Artikel Motivasi untuk Pelajar - Motivasi Belajar : Teknik-Teknik Mengulangkaji Pelajaran Meningkatkan Keyakinan Diri.

BAGAIMANA MENGULANGKAJI
Antara perkara-perkara yang anda harus lakukan dalam proses mengulangkaji adalah dengan:

1. Membaca dan menyemak nota-nota bahan-bahan pelajaran. Lengkapkan yang kurang. Ini akan memantapkan kefahaman dan ingatan anda terhadap subjek berkenaan.

2. Membaca buku teks. Tujuannya untuk memastikan anda benar-benar faham setiap prinsip, isu dan fakta yang dimuatkan.

3. Menjawab soalan-soalan latihan atau kerja rumah yang guru berikan. Ini akan membolehkan anda menguji kebolehan anda menjawab soalan yang sama dalam peperiksaan.

4. Mengkaji contoh-contoh jawapan peperiksaan tahun lepas bersama skima jawapan. Ini akan membolehkan anda membiasakan diri menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan lebih yakin dan pantas.

5. Menjawab soalan-soalan yang berbentuk objektif. Ini akan membolehkan menge-tahui soalan-soalan yang anda sudah tahu menjawabnya dan soalan-soalan yang mengelirukan agar semasa peperiksaan jika soalan yang sama keluar, anda akan dapat menjawab dengan yakin.

6. Bersoal jawab bersama-sama rakan. Selain ini membolehkan anda mengenalpasti sama ada anda sudah cukup bersedia atau tidak menghadapi peperiksaan, pada masa yang sama, anda juga boleh mendapat penjelasan tentang bahagian-bahagian yang anda kurang faham dari rakan anda yang mungkin sudah menguasai bahan pelajaran itu.

Tempoh Mengulangkaji (Pecutan Akhir)
Pelajar-Pelajar Sekolah Di Kudat, Sabah sedang membuat kerja berkumpulan dalam Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar yang dikendalikan oleh Taidin Suhaimin pada tahun 2007.Adalah mustahil untuk menyatakan dengan tepat jumlah masa yang perlu diperuntukkan untuk mengulangkaji kerana kemampuan seseorang itu berbeza. Ada pakar yang mengatakan bahawa masa mengulangkaji perlu dilakukan selama 3 bulan. Ada pula yang berpendapat selepas peperiksaan percubaan kerana anda telah menamatkan tempoh belajar bagi menghadapi peperiksaan percubaan. Yang lain pula mengatakan selama 3 minggu. Ada juga yang berpendapat mengulangkaji secara ringkas setiap minggu akan menambahkan keyakinan seseorang itu menghadapi peperiksaan. Tetapi, sebagai panduan, 6 hingga 8 minggu di saat terakhir peperiksaan merupakan tempoh yang baik untuk memulakan proses mengulangkaji. Namun, bagi pelajar yang lemah hendaklah proses mengulangkaji pecutan akhir ini dibuat lebih awal daripada yang disarankan di atas. Anda mungkin perlu membuat ulangkaji beberapa kali sehinggalah anda benar-benar dapat menguasai setiap mata pelajaran anda.

Merancang Program Mengulangkaji
1. Buat jadual ulangkaji yang seimbang bagi tiap-tiap mata pelajaran. Jadualkan juga masa berehat untuk mengurangkan ketegangan. Dalam mengulangkaji pelajaran, anda hendaklah berehat setiap 20 hingga 30 minit. Waktu rehat sekurang-kurangnya 5 minit.
2. Tumpukan pada topik utama sahaja. Tanya guru anda untuk mendapatkan "hint" (bayangan) tentang topik yang mungkin akan disoal di dalam peperiksaan.
3. Semak contoh-contoh soalan tahun-tahun yang lalu supaya anda dapat menjangka bentuk jawapan yang diperlukan.
4. Ulangkaji dengan cermat setiap matapelajaran.
5. Sediakan nota-nota ringkas, terutamanya bagi topik yang dijangka akan keluar.
6. Buat rangka jawapan topik-topik yang dijangka keluar berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lepas.
7. Latih diri anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lepas mengikut waktu yang telah ditetapkan.
8. Rujuk kepada guru apabila menghadapi masalah berhubung dengan pelajaran.
9. Jangan sekali-kali ponteng kelas ketika hampir peperiksaan. Anda mungkin tertinggal tip-tip penting yang diberikan oleh guru atau pensyarah anda.

Pembahagian Mata Pelajaran Dalam Mengulangkaji

Mata Pelajaran Yang Anda Lemah
1. Cuba sedaya upaya kuasai mata pelajaran ini. Jangan berputus asa.
2. Banyakkan bertanya kepada guru atau rakan tentang mata pelajaran ini.

Mata Pelajaran Yang Anda Kuat
1. Jangan ambil mudah walaupun anda fikir sudah menguasainya.
2. Beri masa yang secukupnya kepada pelajaran ini untuk memastikan kejayaan anda.
3. Bila hampir hari peperiksaan, lebihkan lagi tumpuan anda kepada mata pelajaran seperti ini.

Menilai Keupayaan Anda
Anda haruslah menilai sejauh mana anda dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan. Berikut ini dipaparkan beberapa cara di mana anda boleh menilai serta memperbaiki keupayaan anda menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan.
1. Penilaian Dari Ujian dan Latihan Ujian / Peperiksaan yang dijalankan dalam kelas merupakan satu bentuk penilaian terhadap keupayaan anda. Berdasarkan keputusan ujian / peperiksaan tersebut, anda akan dapat mengetahui tahap penguasaan anda terhadap mata pelajaran-mata pelajaran anda. Melalui keputusan ujian tersebut, anda boleh memperbaiki segala kelemahan anda bagi menghadapi peperiksaan yang sebenar dengan jayanya.
2. Penilaian Dari Contoh Jawapan Anda juga boleh menguji tahap keupayaan anda dengan menjawab soalan-soalan contoh jawapan. Selepas anda menjawab soalan contoh jawapan, bandingkan jawapan anda dengan contoh jawapan. Kenalpasti di manakah kelemahan anda dan buat pembaikan sewajarnya.
3. Penilaian Secara Lisan Contohnya, seorang pelajar menyoal kawannya dan meminta beliau menghuraikan secara lisan sehingga yang satu pihak lagi berpuas hati.

Mengatasi Kelemahan
Mencari Sebab (Post-Mortem)
Anda perlu mengkaji kelemahan anda setiap kali anda selesai menjawab soalan-soalan ujian. Setelah anda selesai membuat latihan ujian, semak setiap jawapan yang anda buat. Sekiranya jawapan anda salah, lakukan 'post-mortem' (suatu proses mencari sebab kelemahan dan kekuatan). Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan perkara utama yang perlu anda atasi.

Sebab-sebab kesalahan berlaku:
1. Anda Tidak tahu - Ini bermakna persediaan anda belum mencukupi. Penyelesaian: Peruntukkan masa yang sewajarnya untuk anda menguasai tajuk-tajuk tersebut.
2. Anda Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham. Penyelesaian: Minta bantuan. Bertanyalah kepada guru atau rakan anda.
3. Anda Keliru – Anda tidak dapat memahami dengan jelas apa yang anda ingin pelajari atau fahami. Penyelesaian: Tanyakan guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak berulang.
4. Anda Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi atau mengulangkaji apa yang telah anda pelajari. Penyelesaian: Kerapkan ulangkaji.
5. Anda Cuai – Anda tidak teliti semasa membaca soalan. Penyelesaian: Pastikan anda mengikuti langkah-langkah penting dalam Strategi Menjawab Soalan. Pastikan anda benar-benar sudah memahami kehendak soalan sebelum menjawab.

Umumnya, kelemahan-kelemahan anda boleh diatasi dengan:-
Segera / selalu bertanya kepada guru/rakan tentang masalah anda dalam pelajaran.
Mendapatkan jawapan-jawapan yang betul bagi jawapan yang salah.
Mengulangkaji dan membaca nota-nota anda dengan kerapkali.
Memahirkan diri dengan teknik menjawab soalan berpandukan contoh jawapan.
EBuku MOTIVASI, Strategi Belajar & Teknik Menghadapi Peperiksaan

Tips Belajar oleh: Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah

Tip 1
Tuhan mencipta kita dengan penuh kesempurnaan. Bertindaklah dengan cemerlang.

Tip 2
Pelajar yang tidak berdisiplin semasa belajar besar kemungkinan tidak berdisplin sepanjang hayat.

Tip 3
Semua orang ingin berjaya tetapi cuma segelintir yang berjaya kerana mereka berjaya mengawal nafu dan emosi.

Tip 4
Kita mudah lupa apa yang kita dengar. Kita sekadar tahu apa yang kita lihat. Kita akan faham apa yang kita amalkan atau praktikkan.

Tip 5
Apabila kita belajar dengan niat untuk berkongsi ilmu ataupun mengajar orang lain, kita akan dapat kefahaman dan daya ingatan yang luar biasa.

Tip 6
Setiap hari carilah alasan untuk berubah secara positif.

Tip 7
Di dalam dunia ini, cuma kita berupaya mengubah diri kita.

Tip 8
Apabila kita berubah, semua orang di sekeliling kita akan berubah seiringan dengan perubahan kita.

Tip 9
Setiap masalah berpunca daripada diri kita sendiri. Kita yang perlu menyelesaikannya.

Tip 10
Segala kehebatan sudah ada dalam diri kita. Sekadar menanti untuk diserlahkan.

Tip 11
Orang biasa yang melakukan tindakan luar biasa menghasilkan prestasi luar biasa.

Tip 12
Jadikan setiap hari adalah hari terbaik dan sepanjang kehidupan anda akan cemerlang.

Tip 13
Kejayaan = Hidayah + Ilmu + Amal + Ikhlas + Istiqamah + Berterusan berubah secara positif.

Tip 14
Kejayaan adalah melakukan rutin yang positif secara berterusan.

Tip 15
Kegagalan adalah melakukan satu ataupun dua kesalahan berulang kali.

Tip 16
Orang yang penyayang akan dikelilingi oleh ramai orang yang sayang kepadanya.

Tip 17
Orang yang pembenci akan dikelilingi oleh ramai orang yang benci kepadanya.

Tip 18
Pelajar yang serasi rohnya dengan roh gurunya akan mendapat keberkatan ilmu.

Tip 19
Sayangi dan doakan semua guru untuk serasikan roh dengan guru dan mendapat keberkatan ilmu.

Tip 20
Sayangi, bantu dan doakan semua kawan-kawan anda bagi mendapat keberkatan dalam pembelajaran.

Tip 21
Maafkan semua orang sebelum tidur setiap malam bagi mencuci hati dan mencerdaskan minda.

Tip 22
Orang yang hatinya bersih makbul doanya, cerdas otaknya, sihat badannya, cun wajahnya dan ramai kawannya.

Tip 23
Mulai hari ini perbaiki setiap tindakan dan amalan kta untuk menjadi pelajar terbilang.

Tip 24
Jadikan diri anda sebagai ‘besi berani’ yang sentiasa menarik perkara positif kepada diri anda.

Tip 25
Sedarilah hakikat bahawa setiap perubahan yang anda lakukan akan mengubah dunia di sekitar anda.

Tip 26
Anda tidak boleh berubah selagi anda tidak menerima hakikat yang anda perlu berubah.

Tip 27
Langkah pertama untuk berubah ke arah yang lebih cemerlang adalah dengan menerima hakikat yang anda sebenarnya bermasalah.

Tip 28
Orang cemerlang menunjukkan hasil. Orang gagal memberi alasan.

Tip 29
Kenali diri anda yang sebenar sebelum anda dapat menyerlahkan kecemerlangan diri anda.

Tip 30
Tuhan bertindak seperti mana yang difikirkan oleh hambanya. Tip 31 Perbaiki hubungan kita dengan Tuhan dan Tuhan akan memperbaiki hubungan kita sesama manusia.

Tip 32
Tuhan mencipta kita bagi melengkapkan dunia ini. Justeru, jadilah insan yang memberi manfaat kepada makhluk di atas muka bumi.

Tip 33
Semua orang sama ada baik ataupun tidak, adalah aset kepada kita dan membawa kebaikan secara langsung ataupun secara tidak langsung.

Tip 34
Pelajar terbilang sentiasa taat perintah Tuhan. Dirikan sembahyang lima waktu dengan istiqamah.

Tip 35
Pelajar yang ingkar perintah Tuhan tidak mungkin menjadi pelajar yang cemerlang.

Tip 36
Pelajar yang cemerlang bersedia membantu kawan dan bersedia dibantu.

Tip 37
Pelajar yang cemerlang dapat mengawal emosi dan sentiasa ceria dan bersemangat.

Tip 38
Pelajar yang cemerlang mempunyai matlamat yang jelas, hebat dan dapat membakar semangatnya.

Tip 39
Pelajar yang cemerlang mahir dengan strategi dan terknik pembelajaran yang berkesan dan sentiasa tekun belajar.

Tip 40
Pelajar yang cemerlang mempunyai imej diri positif dan yakin diri.

Tip 41
Pelajar yang cemerlang tekun menjalani riadah bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Tip 42
Pemakanan yang seimbang penting bagi menjana pemikiran yang cerdas dan memori yang tajam.

Tip 43
Pelajar dapat mengingat sehingga 90 peratus bahan yang dipelajari apabila diaplikasikan dengan menjawab soalan yang berkaitan dengan bahan yang dibaca.

Tip 44
Cari tempat tenang untuk belajar. Elakkan mendengar muzik semasa belajar.

Tip 45
Belajar sambil mendengar muzik mengurangkan tumpuan dan menghakis keberkatan ilmu.

Tip 46
Senyum sambil belajar membantu proses pembelajaran.

Tip 47
Kaedah belajar paling berkesan adalah dengan melakar peta minda. Tetapi cuma 20 peratus pelajar yang belajar menggunakan peta minda.

Tip 48
Bangun pagi dengan tersenyum dan berdoa supaya sepanjang hari menjadi ceria dan bersemangat.

Tip 49
Orang yang gembira tidak semestinya tersenyum. Tetapi orang tersenyum pasti gembira.

Tip 50
Apabila anda sudah biasa membuat silap, apa yang betul terasa silap dan yang silap terasa betul.

Tip 51
Semua orang mempunyai sumber yang diperlukan untuk menjadi orang cemerlang.

Tip 52
Peribadi dan prestasi kita sering dipengaruhi oleh kawan-kawan. Justeru, carilah kawan yang positif dan cemerlang.

Tip 53
Setiap kegiatan yang kita lakukan masih belum sempurna dan masih boleh diperbaiki.

Tip 54
Orang yang berfikiran negatif mempunyai sepuluh kali ganda peluang mendapat sakit berbanding orang yang berfikiran positif.

Tip 55
Makanan kepada penyakit adalah pemikiran yang kotor dan negatif.

Tip 56
Kunci pembangunan diri adalah bersedia melakukan perubahan positif walaupun kecil, hari ini juga.

Tip 57
Dengan mendidik orang lain, kita akan menyentuh kehidupannya sepanjang hayat.

Tip 58
Semua penyakit ada ubatnya. Ubatnya ada di dalam diri kita.

Tip 59
Buatlah kebaikan atau perubahan positif setiap hari seolah-olah hari ini mungkin hari kita yang terakhir di dunia ini.

Tip 60
Orang cemerlang suka melakukan perkara yang orang gagal tidak suka lakukan.

Tip 61
Apabila anda berani mengaku bersalah, itu tanda anda semakin bijaksana.

* Petikan dari buku : Tips Pelajar Cemerlang Oleh Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah

Tiada ulasan: